August 01, 2009

Riak..

i got this article kat satu blog.. langit ilahi. emm aku rasa menarik.. and tazkirah bersama...

Warden saya di MATRI dahulu, namanya Ustaz Mahadzir bin Mohamad. Dengan saya, ada satu perkara yang dia sering pesankan.

“Hilal, enta kena rendahkan hati enta”

Awalnya, saya tidak faham. Apa beza merendah diri dengan merendahkan hati?

Pesanan itu, walaupun diberikan kepada saya sekitar tahun 2004 dahulu, saya masih ingat sampai hari ini. Saya tidaklah terus mengambil nasihatnya, mengamalkannya dalam kehidupan. Sebab saya ketika itu, tidak faham apa itu kerendahan hati.

Namun, setelah lama masa berlalu, saya mula mengerti apa yang dimaksudkan dengan kerendahan hati itu.

Ada orang bermasalah dengan amalnya. Bukan masalah tidak tahu beramal. Tetapi, dia bermasalah kerana dia riya’, takabbur, ujub dengan amalnya.

Rajin ke masjid lima waktu sehari, maka di dalam hatinya terdetik: “Bagus aku ni, dapat pergi masjid 5 waktu sehari. Istiqomah plak tu. Tak macam orang lain”

Hafal Al-Quran 30 juzu’, hatinya mencuit: “Apa la orang lain, aku boleh hafal 30 juzu’, kenapa la diorang ni malas sangat? Mungkin otak diorang ni lembab agaknya”

Kepimpinan hebat, bercakap di hadapan fasih, semua orang terpegun, hatinya berkata: “Ha, baru korang tahu aku ni siapa. Sekali aku cakap, semua ternganga”

Rajin qiamullail: “Eh, hebat aku ni. Mesti pahala banyak”

Begitulah dalam perbuatan-perbuatan kita yang lain.

Ya, hanya detikan di hati. Tiadalah pula kita mendabik dada mendongak kepala, menjerit-jerit kata: “Aku bagus, aku terhebat, aku terbaik!”. Semuanya di dalam hati.

Ketika itu, hati telah tercedera sebenarnya. Sedar atau tidak, amal kita tidak diterima. Kerna, tiada kerendahan dalam hati kita. Syaitan, hakikatnya telah berjaya memperdayakan kita semua.

Syaitan, jika tidak berjaya mengajak kita berbuat kemungkaran dan maksiat, maka dia akan menyuruh kita berbuat kebaikan.

“Eh, pergi la masjid setiap waktu” Bisik Syaitan. “Kau zikir la banyak sikit”

Bila kita dah stabil, buat kebaikan dengan istiqomah, maka syaitan akan kata: “Bagus la kau ni, buat baik banyak”

Kita pun diam-diam, jauh di lubuk hati, berbangga dengan amal kita. Kita rasa kita sudah bagus, kita rasa kita sudah cukup. Maka ketika itulah, syaitan mula mencucuk-cucuk lagi diri kita. Akhirnya, kita tidak lagi mendirikan solat kerana kita rasa perlu, kerana hendakkan redha Allah, tetapi kita dirikan solat kerana hendakkan perhatian insan lain. Walaupun zahirnya, kita tidak berkata: “Ei, tengokla aku solat” Namun jauh di lubuk hati, kita berkata: “Ha, orang mesti salute punya tengok aku selalu solat di masjid”

Sebahagian manusia, memilih satu solusi dalam permasalahan ini dengan membuat keputusan supaya tidak beramal terus, atau mengurangkan kesungguhannya.

“Ah, malas la pergi masjid, nanti riyak”

“Aku ni bukan apa, takut kalau aku buat elok-elok ni, aku takabbur nanti”

Saya tertawa. Begitu kah?

Kalau benar, maka sekali lagi, syaitan yang licik telah berjaya menipu kita. Syaitan ini mudah, jalannya ada tiga. Pertama: Buat maksiat, ingkar kepada Allah. Kedua: Buat baik, bukan kerana Allah. Ketiga: Tak payah buat dua-dua.

Pilihan ketiga ini, sebenarnya membawa kepada pilihan pertama. Bila kita tidak mempertingkatkan kualiti amalan, kualiti pengabdian kita kepada Allah, maka kita akan terdedah dengan hasutan-hasutan dann godaan syaitan. Kita akan menjadi lemah. Lama kelamaan, kita akan jatuh ke lubang maksiat juga.

Jadi, apa solusinya?

Seorang guru saya, berkata:

“Bila riya’ itu datang dalam amal, maka yang patut kita buat bukanlah meninggalkan amal. Tetapi yang patut kita buat adalah menanggalkan riya’”

Kamu akan menyoal saya, bagaimana hendak menanggalkan riya’?

Jawapannya, kita balik kepada pesanan Ustaz Mahadzir bin Mohamad tadi: Kerendahan hati.

Sebab itu, hati kita yang berbolak balik ini, perlu kita tarbiyah(didik) agar menjadi jinak dan mampu dilenturkan. Kita perlu sentiasa bermuhasabah, dan menjelaskan niat. Untuk apa amal-amal ini kita laksanakan. Adakah kerana manusia, atau kerana kita benar-benar memerlukan amal-amal ini untuk pulang kepada Allah?

Kita lihat, contoh agung kita, Rasulullah SAW yang merupakan Rasul dan kekasih Allah SWT, namun tetap juga merendahkan hatinya serendah-rendahnya.

Mari kita teliti beberapa keadaan yang menunjukkan betapa Rasulullah SAW amat menjaga kondisi hatinya agar sentiasa rendah.

Perhatikan, malam sebelum perang Badar berlangsung, Rasulullah SAW telah berdoa dengan bersungguh-sungguh, mengangkat tangannya dengan tinggi, sehingga terjatuh kain rida’ baginda dan menampakkan ketiak baginda yang putih.

Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, seandainya KAU tidak membantu kami, maka KAU akan lihat esok tiada lagi orang yang akan menyembahMu”

Doa baginda yang bersungguh-sungguh itu, membuatkan Abu Bakr RA terharu. Abu Bakr menenangkan baginda dan menyatakan bahawa Allah pasti akan memakbulkan doa baginda.

Hal ini, terbalik dengan situasi hijrah. Ketika hijrah, Rasulullah SAW amat tenang, dan Abu Bakr RA yang ketakutan. Hingga di dalam gua Tsur, Abu Bakr apabila melihat kaum musyrikin sudah tiba di pintu gua, Abu Bakr RA berkata: “Ya Rasulullah, bagaimana kiranya jika mereka tunduk ke bawah, pasti kita akan dijumpai mereka”

Rasulullah SAW menjawab: “Apa pandangan kamu wahai Abu Bakr, jika kita berdua dan yang ketiganya adalah Allah?”

Kata-kata itu langsung menenangkan Abu Bakr RA.

Sedangkan, semasa hijrah, Rasulullah SAW hanya ditemani Abu Bakr RA dalam keadaan tubuhnya telah diletakkan ganjaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang berjaya menemui baginda hidup atau mati. Manakala ketika di Medan Badr, Rasulullah SAW mempunyai bala tentera seramai 313 orang. Kenapa ketika hijrah Rasulullah SAW bersikap amat tenang, dan di Medan Badr Rasulullah SAW amat kerisauan?

Kerana, ketika hijrah, Rasulullah SAW tidak mempunyai apa-apa. Pergantungan baginda, 100% hanya kepada Allah SWT. Baginda meletakkan keyakinan baginda, sepenuhnya kepada Allah SWT. Tetapi, semasa peperangan Badr, baginda sudah mempunyai ramai pembantu, tentera, sedikit senjata, beberapa tunggangan. Bagina amat takut, bukan takut kalah, tetapi takut andai pergantungannya tidak 100% kepada Allah, tetapi kepada angka tentera dan kelengkapannya.

Maka, Rasulullah SAW menghiba, merendahkan hatinya serendah-rendah. Walau mempunyai tentera, baginda tetap meletakkan pergantungannya kepada Allah, menutup lubang-lubang riyak, ujub dan takabbur, menghapus peluang hasutan syaitan.

Dalam situasi yang lain, yakni ketika Fathu Makkah. Rasulullah SAW masuk ke Makkah, bersama 10,000 orang tentera baginda, lengkap bersenjata semuanya, majoriti tentera muslimin ketika menunggang kuda dan unta, semuanya berbaju besi dari kepala hingga ke kaki dan hanya menampakkan mata sahaja. Lengkap, hebat, gagah, dan tidak tertentang.

Namun, Rasulullah SAW tidak masuk dengan mendabik dada, ataupun tersenyum memandang kiri kanan. Diriwayatkan bahawa, Rasulullah SAW masuk ke Makkah ketika saat gemilang itu, dengan menundukkan kepalanya, menangis dan memuji-muji Allah. Dinyatakan bahawa, Rasulullah menundukkan kepala, hingga kepalanya itu hammpir menyentuh tubuh untanya.

Kenapa?

Kerana ketika itu, Rasulullah SAW hendak menutup segala kemungkinan untuk riyak, takjub, ghurur, takabbur dan pelbagai lagi tembakan-tembakan halus syaitan. Segala strategi Syaitan, dihadapi baginda dengan tenang, dipatahkan penuh bijak dengan kerendahan hati.

Begitulah kita dalam kehidupan. Mahu tidak mahu, kita perlu mempertingkatkan taraf amal kita, kualiti kehidupan kita, kesungguhan kita, dalam mengejar redha Allah SWT dan menjadi hamba-Nya. Memang, sebagai manusia biasa, segala penyakit hati seperti riyak dan saudara maranya akan datang menghinggap. Maka, solusinya bukan meninggalkan amal, meninggalkan usaha. Solusinya adalah berhadapan, menentang.

Bila kita perasan bahawa kita ini riyak, atau mula ada rasa ajaib kepada diri, maka perbanyakkan lah istighfar, muhasabah, dan mengembalikan segala puja dan puji itu kepada Allah. Sedarlah bahawa, kita dapat beramal ini pun adalah rezeki daripada Allah SWT. Pulangkanlah segala kelebihan itu kepada-Nya. Allah lah yang memberikan kita izin untuk melakukan segalanya.

Alangkan Rasulullah SAW yang paling hebat hubungannya dengan Allah SWT pun menjaga perkara ini, masakan kita tidak boleh bersungguh-sungguh untuk mencontohi baginda. Hubungan kita dengan Allah, amatlah lemah. Mustahil kita mampu menentang segala cubaan dengan meninggalkan amal. Riyak dan saudara maranya, hanyalah halangan yang perlu kita langkaui, untuk kita menghadapi cabaran dan dugaan yang lebih besar dari itu lagi.

Merendahkan hati, tidak sama dengan merendahkan diri. Bila kita merendahkan diri, orang nampak kita merendahkan diri. Malah, kadangkala, kita merendah diri pun dalam keadaan riyak. Merendah hati, lebih sukar dari merendah diri. Hal ini kerana, merendahkan hati ini, benar-benar kita dengan Allah SWT sahaja. Manusia lain, tidak akan tahu bahawa kita ini merendah hati atau tidak.

Jadi, isu kerendahan hati ini, perlu anda perhatikan, muhasabah. Anda dengan Allah, bagaimana?

Ketahuilah bahawa, kekuatan hendak beramal dengan ikhlas, semuanya datang daripada Allah SWT.

Rendahkanlah hati anda. InsyaAllah Allah akan membantu anda.

Sama-sama lah kita perbanyakkan muhasabah, dan memberbaiki lagi kondisi hati dan kehidupan kita.

Kita hendak pulang kepada Allah SWT, dalam keadaan hati yang sempurna insyaAllah…

Ya Allah, terima lah, dan bantulah kami ini.

Manusia-manusia, yang hendak menjadi HambaMu Ya Ilahi…

No comments: